Sunday, 15 January 2012

[sukan] Dendam berbalas


DENDAM terbalas. Mungkin itu yang berlegar di fikiran jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei sebaik berjaya mengenepikan cabaran bintang muda China, Chen Long pada aksi peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2012 semalam. Pada aksi yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu, Chong Wei ternyata bijak untuk mematahkan segala serangan Chen Long apabila menang 21-18, 17-21, 21-13. Sebelum ini, Chong Wei dikejutkan dengan kekalahan ke atas Chen Long iaitu pada peringkat separuh akhir Siri Super Akhir di China bulan lalu.
Malah, dia juga tewas dua kali berturut-turut di tangan pemain China tersebut ketika Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark pada Oktober tahun lalu. Justeru, kemenangan kali ini sekali gus membuktikan bahawa apa yang diperkatakan pemain No. 1 dunia itu yang Chen Long bukan ancaman buat dirinya pada Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan memang ada benarnya. Ternyata dia berada pada kelas yang tersendiri berdasarkan persembahan yang dipamerkannya bagi menumbangkan pemain negara Tembok Besar itu meskipun terpaksa beraksi sehingga ke set penentuan.
Dengan kemenangan tersebut, Chong Wei kini sudah semakin hampir untuk menggenggam kejuaraan kelapan pada Terbuka Malaysia kali ini. Tampil selaku pemain pilihan pertama, pemain berusia 29 tahun itu telah pun merasai gelaran juara Terbuka Malaysia sebanyak tujuh kali iaitu pada edisi 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011. Kini hanya tinggal satu sahaja lagi halangan buat Chong Wei apabila dia perlu menewaskan pemain perseorangan Jepun, Kenichi Tago yang bakal menjadi lawannya pada final hari ini.
Atas kertas, Chong Wei tidak mempunyai sebarang masalah untuk dinobatkan juara buat kali kelapan berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain sebelum ini. Chong Wei terlalu unggul buat Tago apabila menang kesemua 10 pertemuan sebelum ini. Terdahulu, Tago menempah slot ke pentas final selepas lawannya Chen Jin dari China menarik diri ekoran mengalami masalah kecederaan buku lali kanan.


Reactions:

0 comments:

Post a Comment

Anda boleh tinggalkan komen di tempat yang telah disediakan..