TIDAK dinafikan, terdapat persepsi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa kontroversi adalah salah satu langkah yang paling berkesan untuk dikenali ramai dalam tempoh yang cepat.
Justeru, bukan lagi suatu perkara yang luar biasa apabila ada sebilangan artis yang sengaja menjaja kisah sensasi semata-mata mahu mencari jalan mudah untuk menjadi lebih popular.
Bagi pelakon yang kini sedang mencipta nama dan semakin meningkat naik dalam bidang lakonan, Izara Aishah ternyata mempunyai prinsip iaitu lebih gemar jika dikenali kerana bakat lakonan yang ditonjolkan.
"Mungkin saya masih lagi baru dalam bidang ini dan ia antara salah satu sebab saya jarang dikaitkan dengan kisah-kisah hangat. Apa pun kontroversi adalah perkara yang seboleh-bolehnya saya cuba untuk elakkan.
"Namun, apabila mengambil keputusan untuk menceburi bidang lakonan, saya akui tetap tidak akan dapat lari daripada melalui kontroversi dan memang saya sudah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Izara, kini dia masih lagi selesa berada dalam situasi sebegini dengan perjalanan seninya terus lancar tanpa perlu merasa tertekan dengan cerita-cerita kurang enak terhadap dirinya.
Setakat ini, dia lebih gemar untuk menjadi diri sendiri dan bermuka-muka terutamanya di hadapan peminat serta tidak melakukan sebarang perkara yang buruk dan boleh menjejaskan nama sendiri.
"Adakalanya kontroversi terjadi tanpa dijangka dan saya tidak mahu ia menjadi batu loncatan untuk cepat popular. Saya yakin tanpa kontroversi seseorang pelakon itu masih boleh dikenali ramai, asalkan menampilkan lakonan bermutu dan digemari ramai," jelasnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kerjaya seninya pula, Izara memberitahu sejak muncul dalam drama bersiri Soffiyya, namanya semakin menjadi sebutan peminat berdasarkan impak kepada watak antagonis yang dibawakannya.
Memainkan peranan sebagai Fiona, pelakon yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu berjaya menimbulkan kebencian terhadap dirinya, tetapi ia dianggap satu kejayaan tersendiri buat dirinya.
"Sebelum ini saya sudah banyak membintangi drama dan telefilem tempatan, tetapi menerusi drama Soffiyya yang membuatkan para peminat dapat melihat kebolehan sebenar saya dalam bidang lakonan.
"Walaupun ada yang membenci saya kerana karektor yang dipegang dalam drama itu, tetapi saya tetap puas dan gembira kerana ia membuktikan pembabitan saya tidaklah berlandaskan kepada paras rupa semata-mata," ujarnya.
Pada masa yang sama, Izara memberitahu bahawa kerjaya seninya kini semakin berkembang dengan tawaran yang semakin banyak, termasuklah tawaran untuk beraksi di layar perak.
Bagaimanapun, pelakon itu mendedahkan dia masih lagi belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolaknya kerana merasakan masih belum lagi belum bersedia untuk berlakon filem.
"Lagipun berlakon filem agak berbeza dengan drama atau telefilem dan saya akui masih lagi gugup tampil di layar perak. Jadi, buat masa ini saya lebih selesa terus muncul di kaca televisyen sahaja," ujarnya.
Tidak bersaing dengan Neelofa
Pastinya ramai yang sudah tahu mengenai hubungan persahabatan yang terjalin rapat di antara Izara dan Neelofa apabila kedua-duanya adalah bekas peserta kepada pertandingan Dewi Remaja 2010.
Biarpun sekadar berada di tempat kedua dan menyaksikan Neelofa dinobat sebagai juara dalam pertandingan berkenaan, kini mereka berdua dikenali sebagai antara pelakon wanita yang sedang meningkat naik.
Lebih menarik lagi, Izara dan Neelofa juga baru-baru ini turut tercalon dalam senarai finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular (ABP) 2011 bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular.
"Pastinya saya amat bersyukur apabila nama saya turut tersenarai pada ABP kali ini. Malah, saya juga sudah dapat mengagak yang nama Neelofa akan turut tercalon untuk kategori yang sama.
"Bagaimanapun, saya tidak melihat penyertaan kami berdua ini sebagai satu persaingan kerana saya sendiri tidak terlalu mengharap untuk menang dan semuanya terpulang pada rezeki masing-masing," jelasnya.
Mengenai hubungannya dengan Neelofa, pelakon itu memberitahu mereka berdua sudah saling mengenali sejak sama-sama bergelar model iklan dan semakin rapat ketika menyertai Dewi Remaja 2010.
Ujarnya, sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan, Neelofa juga adalah antara rakannya yang paling banyak memberikan tunjuk ajar serta nasihat dan sangat menghargai apa yang dilakukan oleh rakannya itu.
"Walaupun sekarang ini nama kami sama-sama naik pada waktu yang sama, tetapi tidak pernah terbit rasa cemburu sesama sendiri. Sama ada saya atau Neelofa yang lebih menonjol dan banyak mendapat tawaran, bagi saya ia semua adalah rezeki masing-masing," ujarnya.
Sumber: kosmo online
0 comments:
Post a Comment
Anda boleh tinggalkan komen di tempat yang telah disediakan..